Fungsi Agensi Kelayakan Malaysia

Sebagai badan jaminan kualiti, MQA berfungsi seperti berikut:

  • Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan kelayakan Malaysia;
  • Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
  • Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
  • Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan;
  • Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
  • Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)


Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi

Pada masa ini, Malaysia mengalami perkembangan pendidikan yang pesat dalam kedua-dua sektor pendidikan awam dan swasta. Di sektor awam, terdapat sebanyak 13 buah universiti yang telah didirikan tidak termasuk politeknik-politeknik dan institut-institut perguruan. Enrolmen pelajar di universiti melebihi 150,000 orang pelajar. Begitu jua kedudukannya di sektor pendidikan swasta. Statistik yang ada menunjukkan terdapat lebih 500 buah IPTS yang telah ditubuhkan dengan enrolmen pelajar melebihi 100,000 orang. Desakan untuk membangunkan sektor pendidikan tinggi masih berterusan. Sebagai alternatif, pelajar-pelajar akan mendapatkan kemudahan pendidikan tinggi dalam negeri.Kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPT Awam adalah terkawal. Terdapat mekanisme-mekanisme tertentu sama ada di peringkat institusi ataupun Kementerian yang mengawal standard dan kualiti kursus-kursus pengajian yang disediakan.Sebaliknya, pendidikan yang disediakan oleh IPTS diragui kualitinya walaupun tidak boleh dinafikan mungkin terdapat mekanisme-mekanisme kawalan kualiti tertentu di peringkat sesebuah IPTS. Dalam keadaan ini dan ke arah mengimbangi standard dan kualiti untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi negara yang berkualiti secara menyeluruh dan bersepadu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah diwujudkan untuk menjadi badan kawalan kualiti yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan pendidikan tinggi yang disediakan oleh IPTS sentiasa berkualiti tinggi.

Budaya pendidikan cemerlang

Dalam dunia persaingan yang hebat, faktor kualiti akan menentukan kesejahteraan sesebuah organisasi itu. Begitu juga dalam sektor pendidikan tinggi, usaha untuk mewujudkan suasana persaingan di kalangan IPT-IPT di negara ini akan menjurus kepada peningkatan kualiti pendidikan yang disediakan. Oleh yang demikian, penubuhan MQA akan membantu IPTS meningkatkan kualiti untuk lebih berdaya maju dalam persaingan dengan IPTA ke arah menyumbang kepada pengwujudan sistem pendidikan tinggi negara yang lebih cemerlang. Bukan itu sahaja, IPTS juga dijangkakan akan dapat bersaing dengan jayanya di peringkat wilayah dan antarabangsa.

Menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan

Kerajaan telah menyatakan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini. Sehubungan dengan itu, usaha-usaha pengiktirafan dan pengakreditan yang dilakukan oleh MQA akan menjadi asas perakuan dan pengiktirafan antarabangsa. MQA akan menjadi pusat rujukan dalam menentukan standard dan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS di negara ini. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS akan dapat menyumbang untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai komoditi eksport. Selain itu, hasrat ini akan hanya terlaksana sekiranya semua IPT termasuk IPTS dapat berdaya saing dan mempunyai 'competitive-edge' untuk mengatasi IPT-IPT luar negeri mahupun di peringkat regional ataupun global.

Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan

MQA juga ditubuhkan dengan status badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan bertujuan untuk mewujudkan satu badan yang berautonomi bagi mengawal standard dan kualiti pendidikan tinggi yang disediakan oleh IPTS. Badan ini juga perlu mempunyai kepakaran tertentu yang dapat menjalankan kerja-kerja penilaian secara profesional tanpa diragui oleh mana-mana pihak. Dengan ciri-ciri tersebut MQA akan wujud sebagai badan yang berwibawa dalam menentukan standard dan kualiti pendidikan tinggi swasta.